Di Gradient Canopy, kami memperoleh pensijilan Kelopak Bahan, Cabaran Bangunan Hidup (LBC) International Living Future Institute (ILFI) dengan memberi penekanan kepada cara untuk menggabungkan bahan bukan toksik dan bahan yang boleh dipulihkan secara ekologi. Atas sebab ini, kami meneroka cara menyepadukan sumber kayu massa yang lestari dalam pembinaan bangunan untuk memanfaatkan sifat kayu yang mampu dijana semula dan mengasingkan karbon.
Kayu massa ialah teknik pembinaan yang menggunakan kayu mampat untuk membuat tiang, rasuk tiang, dinding, lantai dan bumbung dengan cara yang boleh mengurangkan karbon terkandung berbanding dengan pendekatan pembinaan tradisional. Kesudahannya, kepentingan kayu massa jelas ditunjukkan dalam pembinaan dan perkara yang kami pelajari di sini membantu projek pembinaan yang lain di Google.
Kami berminat dengan potensi kayu massa sejak sekian lama kerana bahan ini menggalakkan tempat kerja yang lebih sihat, lebih produktif dan memberikan inspirasi visual melalui kualiti biofiliknya. Biofilia adalah tentang menyepadukan alam semula jadi dengan reka bentuk untuk membentuk ruang yang menyemarakkan perkembangan penghuni. Langkah menerapkan elemen kayu terdedah di dalam bangunan mengurangkan keperluan untuk menggunakan bahan tambahan seperti lapisan dan kemasan dinding. Langkah ini juga membantu penghuni bangunan berasa terhubung dengan alam semula jadi walaupun berada di dalam bangunan. Oleh hal yang demikian, apabila kami mula mereka bentuk Gradient Canopy, pada awalnya kami meneroka kemungkinan menggunakan kayu massa pada keseluruhan struktur bangunan dan mendapati bahawa ketahanan jangka panjang yang kami mahukan agak mustahil untuk dicapai. Walau bagaimanapun, kami masih dapat menerapkan kayu untuk beberapa elemen struktur di dalam bangunan.
Di Gradient Canopy, elemen kayu massa dibuat menggunakan bahagian kayu berlamina yang bersilang (CLT), iaitu kayu yang dibentuk dengan melekatkan berbilang lapisan kayu balak digergaji yang pejal secara bersama untuk mencapai ketegaran struktur yang lebih baik. Kami bermula dengan acuan CLT (acuan yang dituang konkrit) untuk lantai konkrit tingkat kedua, yang memberikan kekuatan komposit. Kami menyepadukan bahan ini melalui cara yang menjadikan CLT tersebut dikekalkan dan bukannya dialih keluar serta dilupuskan seperti amalan biasa. Bahan ini bersifat dwifungsi sebagai siling kayu terdedah untuk ruang tingkat bawah, serta sebagai pagar di sekeliling halaman dalaman. Kayu juga digunakan untuk pintu dan bingkai pintu pada keseluruhan bangunan, khususnya untuk pod mesyuarat dan bilik persidangan. Untuk melakukan ini, pasukan dapat bekerjasama dengan vendor untuk mendapatkan sijil label Declare untuk keseluruhan pemasangan pintu, seterusnya membantu kami mengutamakan bahan binaan yang menunjukkan ikatan yang lebih selamat untuk mewujudkan persekitaran dalam bangunan yang sihat.